Dalam ulum hadis, terdapat banyak istilah-istilah yang perlu diketahui dan dikuasai bagi penuntut dan pengkaji ilmu hadis... Ini kerana, ulum hadis merupakan satu cabang ilmu yang sangat luas dan mendalam... Perkataan kata jama' 'ULUM' sahaja memperlihatkan kepada kita bahawa terdapat banyak illmu-ilmu di dalam ilmu hadis... Oleh itu, sebagai permulaan bagi sesiapa sahaja yang mahu dan berminat dalam berjinak-jinak dengan ilmu yang mulia ini, mari kita menelaah sebentar beberapa perkataan-perkataan asas dalam ilmu hadis... Semoga Allah SWT memberikan kepada kita semua kefahaman yang tinggi dan mendalam sepertimana yang diingini oleh Allah dan Rasul-Nya yang mulia, Muhammad SAW...
Ilmu Mustolah al-Hadis - cabang ilmu mengenai kaedah ataupun usul yang mana melalui perantaraanya, dapat kita kenali hal ehwal sanad dan matan sama ada diterima atau ditolak.
Hadis - segala yang disandarkan kepada Rasulullah SAW sama ada dari segi percakapan, perbuatan, taqrir dan segala sifat-sifat yang zahir mahupun yang batin. Sebahagian ulama berpendapat bahawa hadis lebih kepada perkataan Rasulullah SAW.
Sunnah - sama seperti hadis. Namun, sebahagian ulama berpendapat bahawa sunnah lebih kepada perbuatan Rasulullah SAW.
Khabar - lebih umum daripada hadis dan sunnah kerana khabar meliputi apa sahaja yang diriwayatkan dari Rasulullah SAW dan selain dari Rasulullah (para sahabat, tabi'in dan atba' at-tabi'in). dengan kata lain, semua hadis Rasulullah adalah khabar tetapi tidak semua khabar adalah hadis dari Rasulullah.
Athar - sebahagian ulama mengatakan bahawa athar merujuk kepada perkataan para sahabat radiallahu anhum ajma'in.
Hadis Qudsi - hadis yang maknanya daripada Allah SWT tetapi dilafazkan melalui Rasulullah SAW sama ada melalui mimpi atau ilham.
Matan - lafaz-lafaz hadis sesudah sanad.
Sanad - rangkaian perawi atau jalan yang menyampaikan kepada hadis (matan)
Isnad - perbuatan yang menyebutkan hadis kepada orang yang mengatakannya. Sanad dan isnad mempunyai maksud yang hampir sama.
Musnid - orang yang meriwayatkan hadis dengan menyebut sanadnya (isnad).
Musnad - kitab-kitab hadis yang disusun mengikut nama para sahabat yang menyampaikan hadis.
Muhaddis - orang yang mahir dengan hadis dan menghafaz lebih kurang 100 00 hadis.
al-Hafiz - orang yang menghafaz sebanyak 100 000 hadis beserta sanad dan matannya.
al-Hujjah - menghafaz 300 000 hadis beserta sanad dan matan serta mengetahui jarh dan ta'dil serta sejarahnya.
al-Hakim - pengetahuannya dalam bidang hadis sangat menyeluruh dan sebahagian muhaddis berkata bahawa al-Hakim adalah darjat tertinggi sekali dalam kalangan ahlul hadis serta menghafaz 700 000 hadis.
Riwayat - memindahkan hadis dari seseorang kepada seseorang yang lain. Orang yang memindahkan hadis tersebut disebut sebagai rawi.
Ini adalah sebahagian kecil istilah-istilah dalam hadis. Sebenarnya ada banyak lagi istilah yang perlu dikuasai dan difaham dengan baik oelh penuntut ilmu hadis... Namun, sebagai permulaan, kenali serta ingatlah istilah-istilah ini terlebih dahulu sebelum beralih ke istilah-istilah lain.
No comments:
Post a Comment