Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Mulakan Dengan

Mutiara Kata Dr Yusuf Al-Qaradhawi

Sesungguhnya dalam kehidupan ini ada manusia yang mati sebelum datang ajalnya, kerana masa yang ada dalam kehidupannya itu sama sekali tidak memberikan manfaat dan faedah samada bagi dirinya ataupun orang lain, sementara itu ada manusia-manusia yang terus hidup meskipun ajalnya telah sampai menjemput, kerana masa yang ada dalam hidupnya berjaya digunakan untuk melakukan perkara-perkara yang berfaedah sama ada untuk dirinya atau masyarakat ramai berupa warisan ilmu pengetahuan, anak-anak soleh atau para murid yang bertaburan di pelbagai tempat untuk melanjutkan misi perjuangan atas dunia ini. Perjuangan yang berlanjutan itu menjadikan seolah-olah ia masih hidup dan bergerak dibuka bumi, meskipun jasadnya sudah lama dikandung tanah

Maksud Hadis

Maksud Hadis

Bayangkan akan mati dalam masa sejam

Sunday 16 November 2014


Oleh : TUAN IBRAHIM TUAN MAN 

Fatimah panik. Isnin seminggu lagi adalah ujian terakhir. Minggu depan pula ialah minggu raya.

Semua subjek belum lagi diulangkaji.

Fatimah terasa stress yang amat sangat. Selama ini, Fatimah adalah pelajar yang agak cemerlang. Akan tetapi, kebelakangan ini Fatimah terlalu banyak menghabiskan masa di Twitter, Facebook dan Whatsapp sejak mendapat handphone baru.

Keseorangan di bilik, Fatimah tidak lagi mengulangkaji pelajaran sebaliknya melayan setiap mesej yang masuk. Bahkan di bulan Ramadan, tatkala seorang diri, antara al-Quran dan handphone, Fatimah tidak dapat meninggalkan handphone selama 5 minit.

Fatimah bertemu dengan seorang ustaz untuk mengadu masalahnya dan mencari penyelesaian kepada ketagihannya.

“Benda yang paling kamu perlukan sekarang ialah masa. Tapi ia juga benda yang kamu paling bazirkan. Manusia manusia…

Tutup mata, bayangkan Fatimah akan mati dalam masa sejam, apa yang Fatimah akan buat sekarang?

Bayangkan Fatimah akan mati esok, apa yang Fatimah akan buat sekarang? Bayangkan pula dalam seminggu Fatimah akan mati… apa Fatimah akan buat sekarang?”

Fatimah yang betul-betul memikirkannya dengan jiwa mengalirkan air mata. Fatimah dah tahu apa yang perlu dilakukan sekarang lalu berterima kasih kepada ustaz.

Wahai anakku,
Jangan ingat masa sentiasa ada. Sentiasa ingat akan mati. Ia boleh bantu menyembuhkan segala ketagihan dan membezakan mana yang penting dan tidak penting.

Kamu hilang sesuatu yang penting kerana alat telekomunikasi


Oleh :TUAN IBRAHIM TUAN MAN 


Wahai sahabatku,

Kamu ada masa untuk diluangkan untuk tulisan aku ini? Maksud aku ialah dalam banyak-banyak aktiviti – membaca Whatsapp, membaca status Facebook, mesej kekawan, baca berita di internet, mencari di Google, tengah main game, telefon yang tidak henti berbunyi, melayari YouTube dan muzik – kamu ada tak masa untuk membaca tulisan aku ini?

Dengan kehidupan kamu yang sibuk, sudah tentu kamu sedang menyoal samada berbaloi ke tak untuk kamu menghabiskan masa kamu yang berharga untuk membaca tulisan yang agak panjang ini. Untuk kamu rasa berbaloi, tulisan ini mestilah ditulis dengan sangat baik.

Siapa kamu sebenarnya, wahai sahabatku? Sebagaimana orang lain, kamu adalah seorang yang bersemangat, sibuk, berangkaian dan bercita-cita. Kamu sentiasa mengejar untuk memiliki alat elektronik terbaru untuk membolehkan kamu berkomunikasi dengan pelbagai cara. Bagi kamu, sangat penting untuk sentiasa mengikuti perkembangan terbaru. Kerana itu, kamu selalu terikat dengan alat telekomunikasi kamu – telefon, iPAD ataupun komputer.

Sedarkah, kamu tidak terlepas daripada terfikir siapa yang email kamu dan siapa yang akan menelefon kamu ketika kamu bersukan, solat mahupun di tandas. Sebaik kelas kamu habis, perkara pertama yang kamu akan lakukan ialah menyemak telefon untuk melihat apakah ada mesej, email atau miscall yang menanti kamu. Apabila ada pensyarah yang tidak izinkan kamu membawa telefon ke kelas, kamu memikirkan cara bagaimana kamu boleh seludup telefon untuk dibawa ke kelas.

Kamu hidup seolah-olah menjauhkan diri kamu daripada alat telekomunikasi adalah satu perkara yang teramat sangat susah bagi kamu. Wahai sahabatku, betulkah apa yang aku kata?

Kamu sentiasa berfikir bahawa kamu perlu sentiasa online demi keluarga, sekolah mahupun kerja. “Bagaimana kalau ada kawan, rakan sekerja, bos atau ahli keluarga yang perlukan saya segera?” – itulah persoalan yang sentiasa berlegar di minda kamu. “Aku mesti pastikan aku boleh dihubungi pada bila-bila masa!” – itulah idea yang tertanam di mindamu.

Wahai sahabatku,
Tidak dinafikan bahawa teknologi membawa banyak kebaikan, namun banyak juga perkara negatif yang dibawanya sekiranya kamu terlalu terikat dengannya tanpa sedar. Kamu akan merasa tergesa-gesa dan cemas dengan masa; kamu makan dengan cepat, dan sering makan sambil bermain telefon dan di depan komputer; kamu tidak dapat menumpukan fokus untuk masa yang lama; dan kamu mengalami kelesuan minda.

Kamu sedar bahawa stress boleh mendatangkan kemudaratan, tapi kamu tidak sedar bahawa badan dan minda kamu sebenarnya telah lama stress akibat terlalu terikat dengan alat komunikasi kamu. Pada zaman ini, kamu tidak akan dapat melepaskan iPAD, telefon dan alat kamunikasi kamu, meskipun di dalam hati, kamu ingin tahu apakah impak segala pelbagai komunikasi canggih ini pada kehidupan kamu…

Sedarkah kamu bahawa kerana alat-alat telekomunikasi ini – kamu telah kehilangan sesuatu yang amat penting – iaitu kualiti minda kerana kamu telah ditelan teknologi tanpa sedar.

Wahai sahabatku,
Setakat ini dulu tulisan aku kali ini. Renungkanlah dulu sebelum aku menghuraikannya dengan lebih lanjut di tulisan-tulisan akan datang.

Tazkirah buat sahabat dan anakku


Oleh : TUAN IBRAHIM TUAN MAN | 
Firman Allah dalam Hadis Qudsi:

لا اجمع علي عبدي خوفين ولا اجمع له امنين، اذا امنني في الدنيا اخفته يوم القيامة واذا خافني في الدنيا امنته يوم القيامة
Maksudnya: "Aku tidak akan mengumpulkan dua ketakutan ke atas hambaKu, dan Aku juga tidak akan mengumpulkan dua keamanan. Jika ia merasa aman dari (azabku) di dunia, nescaya Aku merasakan ketakutan baginya pada hari kiamat, dan bilamana ia merasa takut kepada (azabku) di dunia, nescaya ia akan merasa selamat di akhirat.” (Hadis Riwayat Ibn Mubarak, dari al-Hassan. Hadis Mursal)

1. Dua perasaan, iaitu rasa takut kepada Allah dan rasa selamat sehingga tidak mempedulikan azab Allah merupakan dua perasaan yang sentiasa wujud dalam diri manusia. Dua perasaan ini saling berlawanan antara satu sama lain.

2. Orang yang merasa aman dengan melakukan kemaksiatan, melanggar larangan Allah serta melakukan dosa kepada Allah di dunia, nescaya ia akan mengadap Allah dalam keadaan penuh ketakutan dan kegerunan.

Manakala mereka yang takut dari melakukan maksiat serta pendurhakaan kepada Allah semasa hidup, maka ia akan dibangkitkan di hari kiamat dengan penuh rasa aman dan selamat dari azab dan kemurkaan Allah.

3. Maka sesiapa yang gelak ketawa melakukan dosa di dunia, ia akan dibangkitkan dalam keadaan menangis di akhirat. Manakala sesiapa yang menagisi dosa dan kesalahannya di dunia, nescaya ia akan dibangkitkan dengan keamanan dan keredhaan Allah di akhirat.

Benarlah sabda Rasulullah mafumnya:

"Dua mata yang tidak akan disentuh oleh api neraka di akhirat, iaitu mata yang menangis kerana takutkan Allah dan mata yang bearjaga malam dalam mempertahankan agama Allah.”

Wahai anakku,

Berapa kali kita menangisi dosa dan kesalahan yang kita lakukan, berbanding banyaknya air mata yang gugur kerana urusan dunia kita. Semoga Allah memelihara diri ini dari kemurkaan-Nya di dunia dan azab-Nya di akhirat.

Tunaikan enam hak saudaramu

Oleh : TUAN IBRAHIM TUAN MAN | 

عن ابي هريرة رضي الله عنه قال ، قال رسول الله صلى الله عليه وسلم حق المسلم على المسلم ست
اذا لقيته فسلم عليه واذا دعاك فاجبه واذا استنصحك فانصح له واذا عطش فحمد الله فشمته واذا مرض فعده واذا مات فاتبعه. رواه مسلم




Hak seorang Muslim atas Muslim yang lain ada enam perkara:
1. Iaitu apabila engkau menemuinya, hendaklah engkau memberi salam kepadanya.
2. Apabila ia menjemput, hendaklah menghadirinya.
3. Apabila ia meminta nasihat, maka berilah nasihat kepadanya.
4. Apabila ia bersin dan memuji Allah, hendaklah menjawab 'yarhamukalLah'.
5. Apabila ia sakit, hendaklah menziarahinya; dan
6. Apabila ia mati, hendaklah iringi jenazahnya.
(Hadis riwayat Muslim)

Wahai anakku,
Walaupun Rasulullah menyebutnya enam perkara, namun bila kamu hayatinya, ia membawa makna yang sangat besar. Iaitu hak kamu pada saudara se-Islammu dari mula bertemu sehinggalah ia mati. Alangkah indahnya bila kamu hayatinya dan laksanakan hak saudaramu itu, nescaya kamu akan merasai nikmat ukuhwah dalam agama.

Memberi salam bermakna kamu mendoakan keselamatan dan kesejahteraannya dunia dan akhirat. Bila kamu mendoakannya (memberi salam , ia pula akan mendoakan kamu (menjawab salam). Inilah kasih sayang apabila kamu doakan kebaikannya, kebahagiaannya dan kesejahteraan untuknya di dunia hingga ke alam akhirat, alangkah besarnya makna salam dan doa kamu buatnya. As-Salam adalah nama Allah yang kamu sandarkan kepadaNya agar Allah yang sifatnya As-Salam mengurniakan keselamatan buatnya.

Wahai anakku,
Apabila ia menjemputmu, hendaklah engkau menghdirinya. Jemputan adalah penghargaan, penghormatan dan harapan. Alangkah bahagianya bila kamu dapat menyempurnakan harapannya. Tunaikanlah jemputannya, kerana di waktu itu ia sangat mengharapkan kehadiranmu. Kunjunganmu ke rumahnya mengundang rahmat buatnya dan menghapuskan dosa-dosamu. Ziarahilah ia agar ia nanti akan menziarahimu. Kerana rumah yang tidak dikunjungi tetamu akan berkuranganlah keberkatan dan rezekinya.

Bila ia meminta nasihat, wahai anakku, maka nasihatilah dia. Ini bukanlah engkau lebih baik darinya, tetapi ia memerlukan bimbingan, tunjuk ajar, doa dan harapan. Berilah nasihat dengan penuh keikhlasanmu kerana ia lama akan diingati. Meminta nasihat bermakna ia thiqah dan percaya padamu, yakin akan kebaikan pandanganmu dan yang penting ia memerlukan seseorang mendengar masalahnya dan memberi cadangan kepadanya. Maka nasihatilah ia dengan panduan kitabulLah, sunnah RasululLah S.A.W, serta pandangan para ulamak yang muktabar.

Wahai anakku,
Bilamana ia bersin, lalu memuji Allah sebagaimana yang diperintah oleh Rasulullah, maka engkau jawab dengan mendoakan kepadanya YarhamukumulLah, (semoga Allah merahmatimu), alangkah hebatnya ukuhwah, bilamana sahabat bersin lalu memuji Allah kerana di saat ia bersin, segala sarafnya terhenti seketika, lalu Allah mengembalikan semula dan setengah pandangan para ulamak melapangkan baginya sistem pernafasannya dan seribu nikmat yang tersembunyi di sebalik bersin, sehingga Allah menyuruhnya mengucap Alhamdulillah (kesyukuran), maka yang mendengar pula diminta berdoa semoga Allah merahmatinya dan merahmatinya.

Wahai anakku,
Bilamana saudaramu sakit, maka ziarahilah ia kerana ia akan gembira dengan kehadiranmu dan kamu mendoakan agar Allah menyembuhkannya. Di saat sakit, kehadiran sahabat amat dirasai, begitu jua doamu sewaktu menzirahinya. Lantaran itu, berilah harapan kepada saudaramu yang sakit, bahawa Allah akan menyembuhkannya dan dengan kesabarannya akan menghapuskan dosa-dosanya. Allah tidak akan sia- siakan apa jua yang menimpa hambaNya.

Bilamana saudaramu meninggal dunia, wahai anak kesayanganku, Rasulullah menyuruh agar mengiringi jenazahnya ke kubur. Inilah kemuncak persaudaraanmu di dunia ini. Maka iringilah perpisahanmu dengan doa agar Allah mengampuninya dan merahmatinya. Mengiringi jenazah ke kubur dapat menguatkan jiwa dan semangat bagi keluarganya, menambah ketabahan mereka dan mengundang pelbagai kebaikan buatmu.

Wahai anakku,
Ambillah dan ingatlah hadis ini, usahalah agar kamu dapat menunaikan tanggungjawabmu kepada saudaramu, agar ia juga menunaikan haknya kepadamu. Doalah buat saudaramu dan kenalanmu tanpa pengetahuannya, engkau akan merasai nikmat ukuhwah yang sangat indah. 

Agama adalah nyawa bagi kehidupan muslim



Agama adalah asas bagi segala kehidupan muslim, manakala aqidah (keimanan) adalah asas bagi agama Islam. Dua perkara pokok ini mesti difahami oleh seluruh masyarakat, sama ada muslim atau bukan muslim. Kedudukan agama dalam kehidupan muslim bukan hanya sekadar keperluan rohani atau perkara yang boleh diambil atau ditinggal, bahkan ia adalah kewajipan yang mesti diterima dan dilaksanakan.

Agama bukan bahan tempelan bagi memenuhi syarakat digelar muslim, atau perkara yang diterima dalam sesetengah keadaan dalam memenuhi keperluan hidup, sebagaimana pakaian, yang boleh dipakai bila mana perlu dan ditanggal bila mana tidak memerlukannya. Ia juga bukan seumpama makanan, yang boleh di ambil bila mana lapar dan ditinggal bila mana merasa kenyang. Bagi umat Islam, agama adalah nadi, jantung dan nyawa bagi kehidupan muslim.

Agama adalah asas kehidupan, asas penilaian dan asas bagi segala tindakan, keyakinan dan kepercayaan. Di atasnyalah berdiri segala tindakan, penilaian dan keyakinan. Kerana persoalan agama inilah umat Islam terdiri dari pelbagai tahap dan golongan. Walau semuanya muslim.

Ada aorang Islam yang menghayati sepenuhnya segala ajaran Islam, dengan penuh kepercayaan, keimanan, dan kesungguhan sehingga keyakinannya menyerap dalam seluruh akal budinya. Golongan ini dipanggil mukmin.

Manakala ada dalam kalangan orang Islam yang hanya sekadar percaya beberapa kewajipan asas agama khususnya hubungan dengan Allah, sedang keyakinannya tidak meresap ke dalam seluruh akal budinya, ia bercampur baur antara taat dan maksiat. Golongan ini dinamakan golongan muslim asi, atau fasik.

Sama halnya dengan orang Islam yang hidup membelakangkan tanggungjawab terhaap Allah seperti mengabaikan sembahyang, puasa, zakat, haji serta melakukan pelbagai dosa dan larangan Allah, namun ia masih berkeyakinan kewajipan yang mesti dilaksanakan, atau masih berkeyakinan dan tahu perbuatan haram, namun dilakukan kerana kelemahan mannya, atau kerana malas dan cuai, maka golongan ini dinamakan golongan fasik. Iaitu golongan yang melakaukan dosa besar dan tidak beraubat kepada Allah.

Manakala sesaorang yang melanggar kewajipan asas seperti sembahyang, puasa, zakat, haji dan lainnya dengan penuh keyakinan ianya BUKAN SATU KEWAJIPAN, atau tidak haram melakukan larangan Allah seperti berzina, minum arak, berjudi dan lainnya, sekiranya dilakukan dengan pengetahuannya maka golongan ini dipanggil murtad. Yakni telah terkeluar dari lingkungan seorang muslim. Kerana ia telah MENGHALALKAN APA YANG DIHARAMKAN OLEH ALLAH, ATAU MENGHARAMKAN APA YANG DIHALALKAN oleh Allah.

Maka sebagai seorang muslim mereka mesti menerima, beramal dan mematuhi apa jua kewajipan Allah ke atasnya, dan meninggal apa jua larangan Allah. Maka kita mesti mengetahui apakah perkara kewajipan dan apa pula perkara yang dilarang oleh Allah. Mengetahui perkara ini termasuk fardu ain, yang mesti dipelajarai oleh setiap muslim.

Di manakah hudud , qisas dan takzir.

Ia sebahagian kewajipan yang telah ditetapkan oleh Allah demi kebaikan, keselamatan, kesejahteraan masyakat bagi menjamain keharmonian, keamanan dan keselamatan harta, nyawa, maruah, akal fikiran dan agama yang menjadi teras tersebut.

Maka tanggungjawab ini mesti difahami oleh seluruh masyarakat muslim atau non muslim. Maka adalah sangat janggal dan bercanggah dengan asas agama Islam bila mana ada dalam kalangan muslim atau non muslim meminta agar umat Islam tidak melaksanakan sistem perundangan Islam (hudud, qisas atau akzir ) ke atas umat Islam, kerana Ia satu kewajipan bagi pemerintah Islam.

Mazhab Facebook



1. Ilmu adalah tunjang yang mengakar kekuatan seorang pendakwah dan pejuang. Bagaimana dakwah Islam dapat disampaikan dan bagaimana pula Islam boleh diperjuangkan tanpa ilmu? Ilmu kepada pejuang, bagaikan modal kepada peniaga. Firman Allah swt:

وَمَا كَانَ الْمُؤْمِنُونَ لِيَنفِرُوا كَافَّةً فَلَوْلَا نَفَرَ مِن كُلِّ فِرْقَةٍ مِّنْهُمْ طَائِفَةٌ لِّيَتَفَقَّهُوا فِي الدِّينِ وَلِيُنذِرُوا قَوْمَهُمْ إِذَا رَجَعُوا إِلَيْهِمْ لَعَلَّهُمْ يَحْذَرُونَ

Dan tidaklah wajar orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu, hendaklah sebahagian mereka mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam ugama, dan supaya mereka dapat memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka kembali kelak kepangkuan kaumnya; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah). (Surah At Taubah: 122)

2. Namun Ilmu Islam ini mempunyai disiplin tersendiri yang perlu ditekuni untuk memilikinya. Bermula dari kaedah pengajian, subjek dan methodologinya, ilmu juga mesti dipelajari secara istimrar (berterusan). Malang jika ilmu hanya dikutip secebis tanpa talaqqi (berguru) dengan guru yang mursyid. Mutaakhir ini, ramai yang menjadikan facebook sebagai medium memuktamad ilmunya. Facebooklah tempat mereka "menuntut ilmu" dan di facebook juga mereka "lulus" dan akhirnya di facebook juga mereka "berfatwa". Google Search pula adalah "mursyid" mereka.

3. Facebook adalah laman sosial dan tidak salah untuk dijadikan sebagai lapangan mencari maklumat dan berbincang pelbagai topik. Namun ia bukan method yang betul untuk memuktamadkan ilmu. Justeru facebook tiada kewibawaan untuk mengesahkan keabsahan sesuatu maklumat, ilmu atau "status" yang di"post" atau di"share" kepada talian jalur lebar perlu terlebih dahulu ditashih (dibenarkan) dengan disiplin ilmu yang betul dan berwibawa. Rujuk laman yang diyakini kewibawaan ilmunya dan teliti status yang di"post"kan dengan manhaj dan disiplin ilmu yang betul. Ingat! Facebook sangat terdedah kepada pencemaran ilmu serta penyelewengan fakta dan figure.

Istilah-Istilah Asas Dalam Ulum Al-Hadis

Tuesday 11 November 2014


Dalam ulum hadis, terdapat banyak istilah-istilah yang perlu diketahui dan dikuasai bagi penuntut dan pengkaji ilmu hadis... Ini kerana, ulum hadis merupakan satu cabang ilmu yang sangat luas dan mendalam... Perkataan kata jama' 'ULUM' sahaja memperlihatkan kepada kita bahawa terdapat banyak illmu-ilmu di dalam ilmu hadis... Oleh itu, sebagai permulaan bagi sesiapa sahaja yang mahu dan berminat dalam berjinak-jinak dengan ilmu yang mulia ini, mari kita menelaah sebentar beberapa perkataan-perkataan asas dalam ilmu hadis... Semoga Allah SWT memberikan kepada kita semua kefahaman yang tinggi dan mendalam sepertimana yang diingini oleh Allah dan Rasul-Nya yang mulia, Muhammad SAW...

Ilmu Mustolah al-Hadis - cabang ilmu mengenai kaedah ataupun usul yang mana melalui perantaraanya, dapat kita kenali hal ehwal sanad dan matan sama ada diterima atau ditolak.

Hadis - segala yang disandarkan kepada Rasulullah SAW sama ada dari segi percakapan, perbuatan, taqrir dan segala sifat-sifat yang zahir mahupun yang batin. Sebahagian ulama berpendapat bahawa hadis lebih kepada perkataan Rasulullah SAW.

Sunnah - sama seperti hadis. Namun, sebahagian ulama berpendapat bahawa sunnah lebih kepada perbuatan Rasulullah SAW.

Khabar - lebih umum daripada hadis dan sunnah kerana khabar meliputi apa sahaja yang diriwayatkan dari Rasulullah SAW dan selain dari Rasulullah (para sahabat, tabi'in dan atba' at-tabi'in). dengan kata lain, semua hadis Rasulullah adalah khabar tetapi tidak semua khabar adalah hadis dari Rasulullah.

Athar - sebahagian ulama mengatakan bahawa athar merujuk kepada perkataan para sahabat radiallahu anhum ajma'in.

Hadis Qudsi - hadis yang maknanya daripada Allah SWT tetapi dilafazkan melalui Rasulullah SAW sama ada melalui mimpi atau ilham.

Matan - lafaz-lafaz hadis sesudah sanad.

Sanad - rangkaian perawi atau jalan yang menyampaikan kepada hadis (matan)

Isnad - perbuatan yang menyebutkan hadis kepada orang yang mengatakannya. Sanad dan isnad mempunyai maksud yang hampir sama.

Musnid - orang yang meriwayatkan hadis dengan menyebut sanadnya (isnad).

Musnad - kitab-kitab hadis yang disusun mengikut nama para sahabat yang menyampaikan hadis.

Muhaddis - orang yang mahir dengan hadis dan menghafaz lebih kurang 100 00 hadis.

al-Hafiz - orang yang menghafaz sebanyak 100 000 hadis beserta sanad dan matannya.

al-Hujjah - menghafaz 300 000 hadis beserta sanad dan matan serta mengetahui jarh dan ta'dil serta sejarahnya.

al-Hakim - pengetahuannya dalam bidang hadis sangat menyeluruh dan sebahagian muhaddis berkata bahawa al-Hakim adalah darjat tertinggi sekali dalam kalangan ahlul hadis serta menghafaz 700 000 hadis.

Riwayat - memindahkan hadis dari seseorang kepada seseorang yang lain. Orang yang memindahkan hadis tersebut disebut sebagai rawi.

Ini adalah sebahagian kecil istilah-istilah dalam hadis. Sebenarnya ada banyak lagi istilah yang perlu dikuasai dan difaham dengan baik oelh penuntut ilmu hadis... Namun, sebagai permulaan, kenali serta ingatlah istilah-istilah ini terlebih dahulu sebelum beralih ke istilah-istilah lain. 

2 Nikmat yang sentiasa dilupakan

Monday 10 November 2014



Allah menciptakan manusia di atas muka bumi ini adalah dengan tujuan untuk beribadat dan mengabdikan diri kepada-Nya, tanpa mempersekutukan-Nya dengan sesuatu pun. Seperti mana yang telah dijelaskan oleh Allah SWT dalam al-Quran :

"Tidaklah Aku menciptakan manusia dan jin itu melainkan untuk beribadah kepada-Ku"
(Surah Az-Zariyat 51:56)

Bagi membolehkan manusia melakukan tujuan tersebut dengan baik, maka Allah SWT telah mengurniakan manusia berbagai nikmat yang tidak terhitung banyaknya, bermula dari masa kelahiran kita hinggalah ke saat ajal menjelang. Dengan nikmat yang dikurniakan itulah manusia dapat menjalankan tujuan sebenar penciptaan mereka, iaitu untuk beribadah kepada Allah. 

Tapi, malangnya nikmat yang banyak yang dikurniakan Allah itu seringkali dilupakan dan disalahgunakan oleh manusia. Sering kali dengan nikmat yang dikurniakan itu, manusia melakukan kekufuran terhadap Allah. Amat sedikit sekali yang bersyukur dengan nikmat-nikmat Allah itu. Firman Allah SWT :

"Dan Dialah yang telah menciptakan bagimu pendengaran, penglihatan dan hati nurani, tetapi sedikit sekali kamu bersyukur." (Surah Al-Mu'minun, ayat 78)

Sabda Rasulullah SAW :

"Daripada Ibn Abbas RA berkata : telah bersabda Rasulullah SAW : "dua nikmat yang kebanyakan manusia sering lupa dan lalai, iaitu nikmat sihat dan nikmat masa lapang." (riwayat Bukhari)

2 nikmat yang sering dilupakan

Dalam hadis di atas, telah dinyatakan kepada kita bahawa nikmat sihat dan nikmat masa lapang adalah dua nikmat yang manusia sering lupa dan leka daripadanya. Bagaimana dua nikmat ini sering dilupakan?

  1. Nikmat sihat

Nikmat sihat adalah satu nikmat yang sangat-sangat bernilai dalam kehidupan manusia. Malah, mungkin nikmat yang paling berharga setelah nikmat Iman dan nikmat Islam. Dengan nikmat sihat, manusia dapat melakukan pelbagai aktiviti dan dapat hidup dengan sempurna.

Cuba bayangkan, seorang yang kaya raya tetapi sakit, mempunyai rumah besar dan selesa tetapi kehidupannya asyik derita kerana sakit yang dihadapi, dihidangkan pula kepadanya makanan dengan lauk pauk yang enak dan lazat tetapi dia sendiri tidak dapat merasainya kerana boleh memudaratkan. Adakah kemewahan yang dimilikinya itu memberi makna lagi kepada kehidupannya? Tidak sama sekali. Kemewahannya itu tidak memberi apa-apa makna kepada kehidupannya. Malah, dia mungkin merasakan seolah-olah tidak pernah mengecapi apa-apa kemewahan pun dalam kehidupannya disebabkan satu nikmat yang kurang daripada hidupnya, iaitu nikmat sihat.

Hal ini menunjukkan betapa bernilainya nikmat sihat kepada kehidupan manusia. Tanpa nikmat sihat, seolah-olah dunia ini gelap bagi manusia.

Allah telah mengurniakan manusia dengan nikmat sihat dengan tujuan agar manusia dapat memanfaatkannya untuk beribadat kepada-Nya sesempurna mungkin. Tetapi malangnya, ada juga manusia yang pada waktu sihatnya tidak pula ia menggunakan nikmat sihat itu dengan memperbanyakkan beribadat kepada Allah. Malah, digunakan pula nikmat itu untuk melakukan maksiat kepada Allah. Ini merupakan antara bentuk bagaimana nikmat sihat dilalaikan. Apabila waktu sakit, barulah mereka kembali mengingati Allah.

Sepertimana yang telah dijelaskan, nikmat sihat merupakan nikmat yang sangat berharga dalam kehidupan manusia. Sepatutnya, apabila kita mendapat sesuatu yang bernilai dan sangat dicintai, menjadi lumrah manusia akan turut menghargai dan berterima kasih kepada sang pemberi. Begitu juga dengan nikmat sihat, ia merupakan nikmat yang sangat dicintai oleh semua manusia. Jadi, apabila kita dikurniakan nikmat sihat, sewajarnya kita berterima kasih dan bersyukur atas nikmat yang dikurniakan itu. Apabila tidak bersyukur, itulah namanya kufur nikmat. Tidak menghargai pemberian agung dari Allah SWT.

Bagaimana bersyukur dengan nikmat sihat?

Tujuan asal penciptaan manusia adalah untuk beribadat kepada Allah. Bersyukur dengan nikmat sihat boleh dilaksanakan dengan memperbanyakkan ibadat kepada Allah sementara kemampuan masih ada. Apabila tiba waktu sakit, manusia mungkin tidak lagi mampu untuk beribadat dengan sesempurna mungkin. Jadi, pada waktu sihat lah waktu yang baik untuk menzahirkan kesyukuran kita kepada Allah atas nikmat yang dikurniakan.


  1. Nikmat masa lapang

Nikmat masa lapang merupakan antara berbagai-bagai nikmat yang telah dikurniakan Allah kepada manusia. Perkara ini memang benar. Cuba kita imbas balik masa yang telah berlalu. Kadang-kadang, ada waktu yang kita merasakan sangat-sangat sempit disebabkan bebanan kerja yang bertimbun. Pada waktu ini, masa kita sangat terbatas. Masa kita hanya ditumpukan kepada kerja yang dibebankan itu. Sampaikan kita tidak ada waktu untuk berhibur, waktu untuk beribadat pun menjadi semakin sempit. Tetapi, di waktu yang lain pula, kita merasakan sangat-sangat lapang, kerana bebas daripada apa-apa kerja, bebas daripada apa-apa pertanggungjawaban dunia. Waktu lapang inilah nikmat yang dikurniakan Allah kepada kita untuk kita manfaatkan dengan sebaiknya.

Dalam hadis yang lalu, telah dinyatakan bahawa nikmat masa lapang adalah antara nikmat yang sering dilalaikan oleh manusia. Bagaimana nikmat ini dilalaikan?

Berbagai-bagai perkara yang boleh melalaikan kita daripada nikmat masa lapang. Boleh jadi masa lapang kita dilalaikan dengan melepak, tanpa ada perkara-perkara yang berfaedah yang diisi padanya. Bermacam-macam perkara yang memungkinkan kita melalaikan nikmat masa lapang yang dikurniakan Allah. Tetapi, yang lebih penting untuk ditekankan, bagaimana menjadikan masa lapang kita terisi dengan baik dan tidak terbuang dengan sia-sia. Dan juga bagaimana caranya untuk kita bersyukur dengan nikmat masa lapang ini.

Menjadikan masa lapang terisi dengan baik juga merupakan cara kesyukuran kita pada Allah terhadap nikmat masa lapang ini. Waktu lapang kita sepatutnya diisi dengan perkara-perkara yang boleh mendekatkan lagi diri kita kepada Allah SWT. Isikan masa lapang kita dengan berbincang perkara-perkara ilmu, hadirkan diri ke majlis-majlis ilmu. Dan, perbanyakkanlah ibadat kita pada ketika waktu lapang ini, kerana peluang untuk memperbanyakkan ibadat ini tidak akan kita dapati pada waktu di mana kita sibuk dengan pelbagai urusan.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulannya, ingin saya nukilkan kata-kata daripada Ibn Jauzi :

"Sesungguhnya dunia itu ladang bagi akhirat, dan padanya perniagaan yang keuntungannya akan terhasil ketika di akhirat, barangsiapa yang menggunakan waktu lapangnya dan kesihatannya pada ketaatan kepada Allah maka dia orang yang bernasib baik, dan barangsiapa yang menggunakannya (waktu lapang dan kesihatan) pada kemaksiatan kepada Allah maka dia orang yang tertipu."





Dan, cukuplah kata-kata di atas sebagai pembakar semangat dan pendorong buat kita semua dalam memanfaatkan nikmat-nikmat Allah dan menggunakannya untuk ketaatan kepada Allah, dan seterusnya mencapai kejayaan di hari akhirat kelak. InsyaAllah.~dipetik dari~

Besarnya Pengertian Niat Dalam Hidup Beragama

Sunday 9 November 2014



عَنْ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ رضي الله عنه قَالَ : سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَقُولُ إِنَّمَا الْأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ فَهِجْرَتُهُ إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ وَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ لِدُنْيَا يُصِيبُهَا أَوْ امْرَأَةٍ يَتَزَوَّجُهَا فَهِجْرَتُهُ إِلَى مَا هَاجَرَ إِلَيْهِ
Daripada Umar bin al-Khattab r.a katanya: Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: Sesungguhnya amalan itu dengan niat, setiap orang akan memperolehi apa yang diniatkannya. Oleh itu sesiapa yang berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, hijrahnya itu kepada Allah dan Rasul-Nya, sesiapa yang hijrahnya untuk dunia yang akan diperolehinya atau perempuan yang akan dinikahinya, hijrahnya itu adalah kepada apa yang dia niatkan. (hadis riwayat al-Bukhari: 1 dan Muslim: 1907))
Huraian:
Perkara yang menjadi ukuran kepada amalan seseorang ialah niat. Ia merupakan pencetus danpendorong kepada amalan seseorang. Berdasarkan kepada niat, setiap amalan dikira baik, terpuji, buruk dan tercela.

  • Hadis ini mengemukakan kepada kita dua kumpulan manusia yang melakukan sesuatu amalan.Pertama, mereka yang mencari keredaan Allah s.w.t dan mereka adalah orang ikhlas. Kedua, mereka yang mencari dunia di sebalik amalan mereka.

  • Setiap kumpulan ini akan memperolehi apa yang mereka niatkan dan usahakan.

  • Sebagai seorang beriman dan berakal, kita hendaklah sentiasa memastikan niat kita ikhlas tanpa bercampur sebarang unsur yang menjejaskannya.
  • Hadis ini juga menegaskan, seseoarang itu akan menerima hasil daripada tindakannya bersesuaian dengan tujuannya.

Niat itu tempatnya di hati
أَلَا وَإِنَّ فِي الْجَسَدِ مُضْغَةً إِذَا صَلَحَتْ صَلَحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ وَإِذَا فَسَدَتْ فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّهُ أَلَا وَهِيَ الْقَلْبُ
Ketahuilah sesungguhnya di dalam tubuh manusia ada seketul daging. Apabila ia baik maka seluruhan tubuh itu menjadi baik dan apabila ia rosak maka rosaklah seluruh tubuh itu. Oleh itu, ketahuilah itu adalah hati. (al-Bukhari dan Muslim)
Hati berperanan sebagai penentu hala tujuan diri seseorang dan menggerakkan anggota tubuh badan sama ada melakukan ketaatan kepada Allah atau sebaliknya.

Hati yang taat kepada Allah akan sentiasa merancang kebaikan-kebaikan yang akan dilaksanakan.

Mempelbagaikan niat dengan amalan yang sama
Hadis ini juga menunjukkan kepada kita jalan untuk mendapat ganjaran pahala yang berlipat ganda.
Dengan menggandakan niat yang ikhlas dan baik kita dapat mencapai beberapa faedah dan pahala.

Contohnya, amalan ke masjid, niat kita ikhlas untuk keredaan Allah. Di samping itu tujuan kita ke masjid untuk sembahyang berjemaah, menghubungkan silaturahim, menuntut ilmu dan sebagainya.Walaupun dengan amalan yang sedikit, kita akan mendapat pahala yang berganda dengan kita memperluaskan niat dan tujuan kita. Di sinilah letaknya keistimewaan niat.
عَنْ أَبِي الدَّرْدَاءِ يَبْلُغُ بِهِ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ أَتَى فِرَاشَهُ وَهُوَ يَنْوِي أَنْ يَقُومَ يُصَلِّي مِنْ اللَّيْلِ فَغَلَبَتْهُ عَيْنَاهُ حَتَّى أَصْبَحَ كُتِبَ لَهُ مَا نَوَى وَكَانَ نَوْمُهُ صَدَقَةً عَلَيْهِ مِنْ رَبِّهِ عَزَّ وَجَلَّ
Daripada Abu Darda` katanya Rasulullah s.a.w. besabda: “Sesiapa yang pergi ke tempat tidurnya dalam keadaan berniat untuk bangun malam sembahyang tahajjud lalu dia tidak terjaga sehingga ke subuh maka ditulis untuknya apa yang dia niatkan. Tidurnya (yang dia mendapat pahala denganya) merupakan sedekah untuknya dari Allah s.w.t. (al-Nasa`i)
عَنْ يَحْيَى بْنِ الْوَلِيدِ بْنِ عُبَادَةَ بْنِ الصَّامِتِ عَنْ جَدِّهِ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ غَزَا فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَلَمْ يَنْوِ إِلَّا عِقَالًا فَلَهُ مَا نَوَى
Daripada Yahya bin al-Walid bin ‘Ubadah bin al-Samit daripada datuknya katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang berperang di jalan Allah dan dia tidak berniat melainkan untuk memperolehi seutas tali maka dia memperolehi apa yang dia niatkan sahaja. (al-Nasa`i)
Niat yang baik akan setiasa menjadi sebab kepada kelancaran sesuatu perkara.
Dalam hal ini sebuah hadis menyatakan:
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ أَخَذَ أَمْوَالَ النَّاسِ يُرِيدُ أَدَاءَهَا أَدَّى اللَّهُ عَنْهُ وَمَنْ أَخَذَ يُرِيدُ إِتْلَافَهَا أَتْلَفَهُ اللَّهُ
Daripada Abu Hurayrah daripada Rasulullah s.a.w. sabdanya: “Sesiapa yang mengambil harta orang lain dengan niat untuk membayarnya balik maka Allah s.w.t. akan menunaikan bagi pihaknya sebaliknya sesiapa yang mengambil dengan niat untuk merosakkannya (tidak mahu membayar balik maka Allah akan merosakkannya. (al-Bukhari)
Hadis ini menunjukkan bahawa sesiapa yang mempunyai niat yang baik maka Allah s.w.t. akan mempermudah urusannya.
عَنْ عِمْرَانَ بْنِ حُذَيْفَةَ قَالَ كَانَتْ مَيْمُونَةُ تَدَّانُ وَتُكْثِرُ فَقَالَ لَهَا أَهْلُهَا فِي ذَلِكَ وَلَامُوهَا وَوَجَدُوا عَلَيْهَا فَقَالَتْ لَا أَتْرُكُ الدَّيْنَ وَقَدْ سَمِعْتُ خَلِيلِي وَصَفِيِّي صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ مَا مِنْ أَحَدٍ يَدَّانُ دَيْنًا فَعَلِمَ اللَّهُ أَنَّهُ يُرِيدُ قَضَاءَهُ إِلَّا أَدَّاهُ اللَّهُ عَنْهُ فِي الدُّنْيَا
Daripada ‘Imran bin Hudhayfah katanya, Maymunah selalu berhutang dan ianya banyak. Keluarganya menegurnya tentang perkara tersebut, mencelanya dan memarahinya. Beliau menjawab: “Saya tidak akan meninggalkan berhutang dan saya mendengar kekasihku Rasulullah s.a.w bersabda: “tidak ada seorangpun yang berhutang, maka Allah mengetahui bahawa dia mahu membayarnya melaikan Allah akan menunaikannya untuknya di dunia. (al-Nasa`i)
Kesimpulannya, niat ialah berfikir sebelum bertindak, merancang sebelum melaksanakan, kehendak sebelum kekemampuan dan merupakan kekuasaan dan pandangan yang memfokuskan matlamat. Sebelum memulakan urusan pekerjaan haruslah diletakkan matlamat di hadapan. Dengan kata lain, memulakan langkah untuk mencapai matlamat dengan mengikhlaskan amalan kerana itulah asasnya tercapai apa yang diniatkkan.
عَنْ مُعَاوِيَةَ بْنَ أَبِي سُفْيَانَ يَقُولُ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ إِنَّمَا الْأَعْمَالُ كَالْوِعَاءِ إِذَا طَابَ أَسْفَلُهُ طَابَ أَعْلَاهُ وَإِذَا فَسَدَ أَسْفَلُهُ فَسَدَ أَعْلَاهُ


Daripada Mu’awiyah katanya, saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya amalan-amalan itu seperti bekas. Apabila baik bahagian bawahnya maka baiklah bahagian atasnya. Apabila rosak bahagian bawahnya maka rosaklah bahagian atasnya (Ibn Majah) ~petikan~

Kitab Hadis Online

Muhasabah Cintaku

Wahai pemilik nyawaku
Betapa lemah diriku ini
Berat ujian dariMu
Ku pasrahkan semua padaMu

Tuhan baru ku sadar
Indah nikmat sehat itu
Tak pandai aku bersyukur
Kini ku harapkan cintaMu

Kata-kata cinta terucap indah
Mengalir berdzikir di kidung doaku
Sakit yang ku rasa
Biar jadi penawar dosaku

Butir-butir cinta air mataku
Teringat semua yang Kau beri untukku
Ampuni khilaf dan salah selama ini
Ya Illahi (ya Ilahi) muhasabah cintaku

Tuhan kuatkan aku
Lindungiku dari putus asa
Jika ku harus mati
Pertemukan aku denganMu

Kata-kata cinta terucap indah
Mengalir berdzikir di kidung doaku
Sakit yang ku rasa
Biar jadi penawar dosaku (dosaku)

Butir-butir cinta air mataku
Teringat semua yang Kau beri untukku
Ampuni khilaf dan salah selama ini
Ya Illahi (ya Ilahi) muhasabah cintaku

Kata-kata cinta terucap indah
Mengalir berdzikir di kidung doaku
Sakit yang ku rasa
Biar jadi penawar dosaku (dosaku)

Butir-butir cinta air mataku
Teringat semua yang Kau beri untukku
Ampuni khilaf dan salah selama ini
Ya Illahi (ya Ilahi) muhasabah cintaku

Teknik Atasi Stress


1. Jumpa kaunselor sekolah

2. Alih pandangan kepada yang relaks(tengok ikan dalam akuarium)

3. Banyakkan berdoa

4. Laksanakan latihan fizikal-jalan 5 minit.

5. Menyusun keutamaan tugas.
6. Tulis perasaan/cakap dalam pita rakaman.

7. Dapatkan sokongan emosi dan orang lain.

8. Mandi dalam air suam.

9. Teknik besarkan situasi ke tahap tahap tak masuk akal.
10. Melihat dari segi positif.

11. Menguasai kehidupan anda-menyelesaikan masalah.
12. Tetapkan semua matlamat yang relistik.

13. Ingat peranan anda di dunia.
 

Anjung Ilmu

Jagalah Hati ...

Jagalah Hati ...
Ketahuilah, bahawa di dalam badan itu ada seketul daging, apabila ia baik, baiklah seluruh badan, dan apabila ia rosak, rosaklah semuanya, ketahuilah, itulah dia hati." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Kalam Murabbi

Kalam Murabbi

Surah Sajadah

Surah Yaasin