Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Mulakan Dengan

Mutiara Kata Dr Yusuf Al-Qaradhawi

Sesungguhnya dalam kehidupan ini ada manusia yang mati sebelum datang ajalnya, kerana masa yang ada dalam kehidupannya itu sama sekali tidak memberikan manfaat dan faedah samada bagi dirinya ataupun orang lain, sementara itu ada manusia-manusia yang terus hidup meskipun ajalnya telah sampai menjemput, kerana masa yang ada dalam hidupnya berjaya digunakan untuk melakukan perkara-perkara yang berfaedah sama ada untuk dirinya atau masyarakat ramai berupa warisan ilmu pengetahuan, anak-anak soleh atau para murid yang bertaburan di pelbagai tempat untuk melanjutkan misi perjuangan atas dunia ini. Perjuangan yang berlanjutan itu menjadikan seolah-olah ia masih hidup dan bergerak dibuka bumi, meskipun jasadnya sudah lama dikandung tanah

Maksud Hadis

Maksud Hadis

Keliru Maqasid Syariah: Kenyang dulu baru makan?

Thursday 27 October 2016



Kekeliruan Maqasid Syariah: Dapatkan kenyang dahulu, baru cerita tentang makan?

Dalam satu dewan kuliah Usul al-Fiqh, seorang profesor bertanya pelajar-pelajarnya di peringkat sarjana, “Sekiranya Maqasid Syariah bercanggah dengan nas-nas Al-Quran dan Hadith, yang manakah patut didahulukan?”

Soalan ini agak ganjil, ada beberapa pelajar yang cuba menjawabnya walaupun dengan nada kurang pasti, “Maqasid perlu diutamakan.” Sebahagian lagi menjawab, “Nas-nas syarak perlu dipertahankan.”

Saya dan sebahagian besar hanya berdiam diri kerana yakin kedua-dua itu bukanlah jawapannya. Tiba-tiba Prof Dr Alauddin Rahhal yang berkelulusan PhD dari UIAM (Malaysia) menyergah kami: “Tidak mungkin sekali-kali Maqasid Syariah bercanggah dengan hukum-hakam syariah!”

Bayangkan, pelajar-pelajar yang mempunyai latar belakang ilmu-ilmu Islam dari Jordan, Kuwait, Yaman, Oman, Turki, Arab Saudi, Pakistan dan lain-lain yang merupakan guru, pensyarah, imam, pendakwah, pengarang dan sebagainya, mereka juga pun boleh terkeliru dengan persoalan ini.

Oleh itu, saya tidak hairan jika orang awam, ahli politik, peguam, artis, ‘ustaz dan ustazah jadian’ dan lain-lain lagi yang tidak pernah mendalami disiplin ilmu-ilmu syariah boleh ‘terlajak ke dalam gaung’.

Apakah itu Maqasid Syariah?

Dalam Bahasa Arab, ‘maqasid’ (kata jamak/plural) atau ‘maqsad’ (kata tunggal/singular) bermaksud: tujuan, matlamat atau objektif.

Apabila disandarkan kepada Syariah ianya memberi maksud; Matlamat Pelaksanaan Hukum-hukum Syariah Islam itu sendiri.

Tujuan mempelajari ilmu ini adalah untuk lebih meyakinkan kita bahawa di sebalik setiap perintah dan larangan Allah dalam syariat Islam itu mengandungi hikmah, natijah dan matlamatnya yang tersendiri.

Matlamat ini hanya akan tercapai apabila kita melaksanakan perintah Allah dan meninggalkan laranganNya. Jika kita tidak mengetahui maqasid tersebut sekali pun, kita tetap perlu menunaikan solat, zakat, puasa, haji dan segala perintah dan tegahan syarak yang lain.

Jauh sekali bermaksud, jika sudah mengetahui maqasid atau objektifnya, maka tidak perlu lagi beribadat atau mengikut syariat.

Saya tidak mahu memetik perbahasan panjang lebar tentang Maqasid Syariah oleh Al-Imam Abu Ishak al-Syatibi (790H) yang terkenal dengan karya agungnya Al-Muwafaqat fi Usul al-Syari’ah. Itu mungkin di lain kali.

Bagi tujuan memahami definisi “Maqasid Syariah” pada peringkat permulaan, memadai kita merujuk kepada Prof Dr Ahmad al-Raisuni (Naib Ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia) yang dianggap tokoh yang dirujuk mutakhir ini dalam bidang ilmu ini. Menurut beliau Maqasid Syariah ialah:

هي المعاني والغايات والآثار والنتائج، التي يتعلق بها الخطاب الشرعي والتكليف الشرعي، ويريد من المكلفين السعي والوصول إليها

“Tujuan-tujuan, matlamat-matlamat, kesan-kesan dan natijah-natijah yang bersangkutan dengannya perintah dan tuntutan syarak yang menghendaki orang-orang yang mukallaf agar menjalankan (syariat) dan berusaha untuk mencapainya.”  
[Madkhal ila Maqasid as-Syari’ah, Dar al-Kalimah, cet.ketiga 2014, hal.9]

Ini bermakna “maqasid” atau objektif itu adalah berkait rapat dengan pelaksanaan syariah itu sendiri. Bukan bermakna meninggalkan syariat untuk mencapai objektif atau natijahnya.

Analogi mudahnya, seumpama kita makan adalah bertujuan untuk kenyang dan natijah kita meminum air adalah agar hilang dahaga. Tentu janggal sekiranya seseorang berkata, “Kita hanya perlukan kenyang dan hilang dahaga, namun kita tak perlu makan dan minum.”

Akidah dan Syariah

Membicarakan ilmu Maqasid Syariah memerlukan seseorang itu beriman dengan keseluruhan ajaran Islam.

Seorang lagi tokoh iaitu Dr Ali Ahmad al-Qulaishi menyebut berkenaan kaitan antara akidah dan syariah:

أن الشريعة تشمل كل ما أنزل الله من الأحكام عقائدية ، أم عملية ، أم أخلاقية ، وأن جملة الأحكام المنزلة من عند الله تعتبر شريعة، وأن العقيدة لا تنفرد عن الشريعة ، وأن العقيدة أصل يدفع إلى الشريعة ، والشريعة تكون عبارة عن تلبية الجوارح للعمل بالعقيدة ، فمن آمن بالعقيدة وألغى الشريعة ، أو أخذ بالشريعة وأهدر العقيدة ؛ فلا يكون مسلما لله تعالى ولا آخذا بسبيل النجاة.

“Sesungguhnya syariah itu merangkumi segala apa yang diturunkan oleh Allah berupa hukum-hakam yang berkaitan dengan akidah, amalan dan akhlak. Bahawa seluruh hukum-hakam yang diturunkan dari sisi Allah adalah dianggap sebagai syariah. Bahawa perkara akidah itu tidak terasing daripada syariah. Akidah adalah asas yang mendorong kepada pelaksanaan syariah. Syariah adalah ibarat  tindak balas daripada anggota tubuh untuk beramal dengan tuntutan akidah. Sesiapa yang beriman dengan akidah namun menghapuskan syariah atau menerima syariah namun mensia-siakan akidah; maka dia bukanlah seorang muslim yang berserah diri kepada Allah Ta’ala dan dia tidak mengambil jalan yang membawa kepada keselamatan (dari api neraka).”
[Madkhal ila Maqasid as-Syari’ah, cet.kedua 1416H/1996M, hal.12-13]

Tentulah aneh, jika orang bukan Islam yang tidak percaya kepada Syariat Allah atau orang Islam yang tidak yakin dengan agamanya sendiri mahu memberi tunjuk ajar bahawa kita perlu mengutamakan maqasid dan tidak perlu bertegas dengan undang-undang syariah. Saya kira setakat ini, sudah jelas kaitan maqasid, syariah dan akidah.

Matlamat-matlamat pelaksanaan syariah adalah tertumpu kepada menjaga maslahah (kebaikan dan kepentingan) kehidupan manusia di dunia dan akhirat.

Menurut salah seorang tokoh penting dalam ilmu usul al-Fiqh, Hujjatul-Islam al-Imam al-Ghazali (505H):

ومقصود الشرع من الخلق خمسة : وهو أن يحفظ عليهم دينهم، ونفسهم، وعقلهم، ونسلهم، ومالهم،
فكل ما يتضمن  حفظ هذه الأصول الخمسة فهو مصلحة، وكل ما يفوِّت هذه الأصول فهو مفسدة، ودفعها مصلحة.

“Matlamat hukum syarak (Maqasid Syariah) bagi makhluk (manusia) ada lima perkara iaitu supaya terpelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan harta mereka. Segala perkara yang merangkumi pemeliharaan kelima-lima prinsip ini adalah maslahah (kebaikan) dan segala perkara yang melenyapkannya adalah mafsadah (kerosakan), mempertahankannya adalah maslahah.”
[Al-Mustashfa min ‘Ilm al-Usul, Al-Muassasah al-Risalah, cet.1 1436H-2015M, Jil.1/hal.417]

Di sinilah punca banyaknya kekeliruan tentang Maqasid Syariah. Kerap kali pemimpin negara, ahli politik dan orang-orang awam yang tidak mendalami perbahasan kelima-lima prinsip ini beranggapan bahawa tidak perlu melaksanakan hukum-hakam syariah, apa yang penting ialah menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta benda.

Menegakkan ‘Maqasid Syariah’ lebih penting daripada melaksanakan hudud dan undang-undang jenayah Islam.

Sedangkan lima perkara ini adalah kesan, hasil dan natijah daripada pelaksanaan hudud, qisas, diyat dan takzir, bukannya ‘kebaikan’ akibat meninggalkan atau menghapuskannya.

Mereka terkeliru, bahawa apa yang penting ialah semata-mata mengambil maqasid (objectives/purposes) tanpa membawa pelaksanaan syariah. Mereka sebenarnya terkeluar daripada perbahasan ilmu ini.

Aneh! Bagaimana mereka boleh berkata tegakkan “maqasid” tanpa melaksanakan hukuman hudud?

Seorang tokoh ilmu fiqh, maqasid dan ahli tafsir terkenal, Al-Imam Muhammad al-Thahir bin ‘Asyur (1393H) yang lebih dikenali sebagai Ibnu ‘Asyur menyatakan dalam kitabnya Maqasid al-Syariah al-Islamiyah:

لقد بينت في مبحث أن الشريعة ليست بنكاية: أن جميع تصرفاتها تحوم حول إصلاح حال الأمة في سائر أحوالها، وأجملت القول هنالك بأن الزواجر والعقوبات والحدود ما هي إلا إصلاح حال الناس. ويجب أن نبسط القول هنا في مقصد الشريعة من العقوبات من قصاص وحدود وتعزير ؛ وذلك من أكبر مقاصد الشريعة هو حفظ نظام الأمة، وليس يحفظ نظامها إلا بسد ثلمات الهرج والفتن والاعتداء، وأن ذلك لا يكون واقعا موقعه إلا إذا تولته الشرعية ونفذته الحكومة، وإلا لم يزدد الناس بدفع الشر إلا شرا.

“Sesungguhnya aku telah menjelaskan bahawa hukum syariah bukanlah suatu penyeksaan. Sesungguhnya keseluruhan pelaksanaannya berkisar kepada pembaikan hal keadaan umat dalam segala hal ehwalnya. Aku ringkaskan perkara ini bahawa segala tegahan syarak, hukuman dan hudud tidak lain hanyalah bertujuan memperbaiki hal keadaan manusia. Di sini, kita mesti memperluaskan perkara ini dalam matlamat syariah pada hukuman-hukuman qisas, hudud dan takzir. Demikian itu kerana Maqasid Syariah yang paling besar adalah untuk memelihara peraturan masyarakat. Hal ini tidak dapat dipelihara kecuali dengan menutup ruang-ruang berlakunya kekacauan, fitnah dan penindasan. Sesungguhnya itu tidak akan berlaku pada tempatnya melainkan dengan mengambil hukum-hakam syariah dan dilaksanakan oleh pemerintah (kerajaan). Jika tidak, manusia tidak akan dapat menghalang kejahatan malah akan berlaku kejahatan.”
[Dar al-Salam, cet.6, 1435H, hal.232]

Secara jelas lagi nyata, al-Imam Ibnu ‘Asyur mengatakan maqasid tidak boleh tertegak dengan meninggalkan hukum-hukum syariah yang wajib dilaksanakan oleh pemerintah.

Tidak mungkin menegakkan “maqasid” dengan undang-undang ciptaan manusia, kononnya untuk mencapai matlamatnya yang jelas berkaitan keadilan, kesaksamaan dan kebaikan.

Jika demikian, itu bukanlah Maqasid Syariah sebaliknya maqasid wadh’iyyah (objektif undang-undang ciptaan manusia). Syariat Islam tiada kena mengena dengan “keadilan” undang-undang yang dicanangkan itu.

Ibnu ‘Asyur meneruskan hujahnya bahawa maqasid syarak pada hukuman-hukuman jenayah itu telah diisyaratkan oleh Allah dalam ayat-ayat al-Quran berikut:

وَلَا تَقْتُلُوا النَّفْسَ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالْحَقِّ وَمَنْ قُتِلَ مَظْلُومًا فَقَدْ جَعَلْنَا لِوَلِيِّهِ سُلْطَانًا

“Dan sesiapa yang dibunuh secara zalim, maka sesungguhnya Kami telah menjadikan warisnya berkuasa menuntut balas.” (Al-Isra: 33)

وَأَنِ احْكُمْ بَيْنَهُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَهُمْ وَاحْذَرْهُمْ أَنْ يَفْتِنُوكَ عَنْ بَعْضِ مَا أَنْزَلَ اللَّهُ إِلَيْكَ

“Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu.” (Al-Maidah: 49)

أَفَحُكْمَ الْجَاهِلِيَّةِ يَبْغُونَ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللَّهِ حُكْمًا لِقَوْمٍ يُوقِنُونَ

“Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliyah? Padahal kepada orang-orang yang penuh keyakinan, tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih pada daripada Allah.” (Al-Maidah: 50)

Maqasid Syariah, Hudud dan RUU 355

Apabila timbul isu hudud dan pindaan Rang Undang-Undang 355 (RUU 355), kedengaran begitu ramai orang yang bukan ahlinya berbicara tentang Fiqh al-Maqasid atau Maqasid Syariah tanpa mengetahui asas-asasnya dan tanpa memahami prinsip-prinsipnya.

Dalam isu RUU 355 ini, sepatutnya para penentang hudud berasa lega kerana usaha menaik taraf dan meningkatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah hanya melibatkan jenayah peribadi atau kesalahan akhlak orang-orang Islam sahaja.

Malah, ianya tidak berkaitan pun dengan kes-kes jenayah mencuri, membunuh, menyamun dan merompak yang tertakluk dalam Kanun Keseksaan di bawah bidang kuasa Mahkamah Persekutuan.

Pindaan RUU 355 (Seksyen 2) tiada kaitan dengan hukuman bunuh, rejam dan potong tangan. Sekiranya berjaya pun melepasi peringkat-peringkat bacaan, perbahasan dan undian oleh ahli-ahli parlimen di Dewan Rakyat, Mahkamah Syariah di negeri-negeri hanya diberikan bidang kuasa menjatuhkan hukuman sebat yang bersesuaian dengan syariat Islam.

Sekurang-kurangnya hakim boleh menjatuhkan hukuman yang menepati nas-nas al-Quran dan Sunnah bagi tiga kesalahan iaitu zina (ghairu muhsan 100 sebatan), qazaf (80 sebatan) dan meminum arak (minimum 40 dan maksimum 80 sebatan) atau dihukum takzir jika tidak memenuhi syarat-syaratnya.

Jika diperhalusi, kes-kes ini adalah berkaitan dengan akhlak orang-orang Islam yang tidak patut dicampuri oleh orang-orang bukan Islam.

Mengenai 'ketidaksaksamaan' undang-undang dalam masyarakat majmuk, sememangnya telah wujud dua undang-undang dalam negara Malaysia di mana orang-orang bukan Islam tidak pernah ditangkap khalwat atau berzina, ponteng puasa atau tidak solat Jumaat, minum arak atau berjudi.

Orang-orang Islam tertakluk di bawah Undang-undang Keluarga Islam berhubungan kes talak, rujuk dan fasakh atau hak penjagaan anak, nafkah dan pembahagian harta pusaka.

Tidakkah mereka berminat juga untuk masuk campur atau menghapuskan undang-undang sedia ada ini untuk orang-orang Islam? Bagi mewujudkan kesamarataan, mereka boleh mula melaungkannya sekarang.

Agak janggal juga apabila ada yang menyebut pindaan RUU 355 ini bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan demokrasi.

Sedangkan kelulusan akta yang dinamakan Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) ini pada tahun 1965 serta pindaan A966 adalah sebahagian dari proses demokrasi dan mengikut peruntukan dalam perlembagaan.

Golongan yang sesat dan menyesatkan

Di saat ilmu agama semakin berkurangan, orang ramai menjadi jahil, maka akan timbullah pemuka-pemuka kesesatan yang telah diberi amaran oleh Rasulullah S.A.W.

Ini dijelaskan dalam hadith yang diriwayatkan dari Abdullah bin Amru bin al-‘Ash, beliau berkata, aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda:

إِنَّ اللهَ لاَ يَقْبِضُ الْعِلْمَ انْتِزَاعًا يَنْتَزِعُهُ مِنَ الْعِبَادِ، وَلَكِنْ يَقْبِضُ الْعِلْمَ بِقَبْضِ الْعُلَمَاءِ حَتَّـى إِذَا لَمْ يَبْقَ عَالِمًا اتَّخَذَ النَّاسُ رُءُوسًا جُهَّالاً فَسُئِلُوا، فَأَفْتَوْا بِغَيْرِ عِلْمٍ فَضَلُّوا وَأَضَلُّوا.

“Sesungguhnya Allah tidak mencabut ilmu sekaligus dari para hamba, akan tetapi Allah mencabut ilmu dengan mematikan para ulama, sehingga ketika tidak tinggal lagi orang berilmu, maka manusia akan menjadikan orang-orang jahil sebagai pemimpin, lalu mereka ditanya, kemudian mereka akan bercakap tanpa ilmu, maka mereka sesat lagi menyesatkan orang lain.”
[Sahih al-Bukhari, Kitab al-‘Ilmi, Bab Kaifa Yuqbadhul ‘Ilmi, (no.100) dan Sahih Muslim, Kitab al-Ilmi, bab

Betapa benarnya sabda Rasulullah S.A.W!

Janganlah berasa pelik jika mereka berkata, “Kita hanya berpegang dengan ‘maqasid’ dan tidak perlu melaksanakan syariat”.

Berkata pula yang lain, “Kita menerima hukum-hukum Islam kerana ini perintah Allah. Namun kita tidak akan melaksanakan syariah kerana kita lebih berpegang kepada ‘maqasid’.”

Mungkin ramai yang masih belum jelas yakin akan kesesatan itu.

Apakah perlu sehingga mereka ini berkata:

“Tanpa solat juga boleh mencegah keji dan mungkar”?

“Apa yang penting kita mencapai takwa, tak berpuasa Ramadhan pun tak mengapa”?

“Zakat tidak wajib, yang penting harta kita halal lagi suci”?

Atau apa sahaja alasan-alasan lain yang bermaksud tegakkan ‘maqasid’, syariah tidak perlu dilaksanakan?

Seumpamanya orang gila yang berkata, “Tak perlu makan, yang penting ialah kenyang” atau orang fasik yang berkata, “Makanlah apa sahaja tak semestinya ikut cara Islam, yang penting kenyang”.

Begitulah perumpamaan bagi orang yang berkata, “Tegakkan ‘Maqasid Syariah’ dahulu, baru cerita tentang hudud”.

Orang seperti ini sebenarnya bukan bercakap tentang Maqasid Syariah dalam kerangka Islam, malah ilmu Maqasid tidak pernah menjadi sebahagian agenda politiknya dan bukan pula undang-undang yang diturunkan oleh Allah Ta’ala menjadi keyakinannya.

Hanyalah topeng bagi meraih laba politik agar tidak dilihat terlalu menentang agama Islam atau memang sebenar-benar jahil yang berlapis-lapis?

Terlalu ramai menampilkan diri sebagai ‘bijak pandai’ dalam hukum-hakam agama.

Ketahuilah! Ubat bagi kebodohan adalah belajar dan dengan belajar dapat mengikis sikap menunjuk pandai.

USTAZ IMRAN AL-MALIZI
Pengerusi Majlis Penasihat ASATIZAH
Irbid, Jordan
Isnin, 27 Syawal 1437

Cuti Pada Hari Jumaat Bukannya Ubah Solat Jumaat

Tuesday 18 October 2016


Umum sedia maklum, Jumaat adalah hari kebesaran umat Islam serta solat Jumaat adalah arahan wajib yang telah difardukan ke atas muslimin yang memenuhi syarat sebagaimana termaktub dalam Al-Quran Al-Karim.
Malah, khalayak juga mengetahui bahawa perbuatan meninggalkan solat ini secara sengaja walaupun telah memenuhi syarat wajib dikira sebagai dosa dan maksiat. Manakala mereka yang menunaikan ibadah ini dijanjikan ganjaran selain dikira memenuhi tuntutan agama. Firman Allah SWT:

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلاَةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَى ذِكْرِ اللهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ذَلِكُمْ خَيْرُ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Hai orang-orang yang beriman, apabila diseru untuk menunaikan solat pada hari Jumaat, maka bersegeralah kamu kepada mengingat Allah dan tinggalkanlah jual beli. Yang demikian itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui” (Al-Jum’ah: ayat 9)
Dalam satu hadis diriwayatkan oleh Thariq bin Syihab dari Rasulullah SAW, baginda bersabda:

الْجُمُعَةُ حَقٌّ وَاجِبٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ فِي جَمَاعَةٍ إِلَّا أَرْبَعَةً عَبْدٌ مَمْلُوكٌ أَوْ امْرَأَةٌ أَوْ صَبِيٌّ أَوْ مَرِيضٌ

Maksudnya: “Solat Jumaat wajib bagi setiap muslim dalam berjemaah, kecuali empat: hamba sahaya, wanita, anak-anak atau orang sakit” (HR Abu Daud)
Manakala dalam hadis Anas bin Malik RA, beliau telah berkata:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يُصَلِّي الْجُمُعَةَ حِينَ تَمِيلُ الشَّمْسُ

” Sesungguhnya Nabi SAW solat Jumaat ketika matahari condong (tergelincir).” (HR Al-Bukhari)
Qat’i versus Zanni
Bila kita menghayati kandungan Al-Quran dengan penuh ketelitian dan kecermatan, kita akan dapati dalam ilmu ulum Al-Quran terdapat terminologi dikenali dengan istilah qat’i dan zanni dalam mengkelaskan ayat-ayat kitab agung ini.
Hubungan manusia dengan Tuhan dalam bentuk hukum ibadah sebahagian besarnya diatur dengan nas-nas yang qat’i, baik dalam Al-Quran mahupun hadis.
Manakala dalam hubungan manusia sesama mereka dan hubungan manusia dengan alam sekitar, sebahagian besar diatur dengan nas-nas yang zanni dan sebagian kecilnya diatur dengan nas-nas yang qat’i.
Solat Jumaat telah disyariatkan secara qat’i berdasarkan dalil daripada Al-Quran dan Hadis. Kita boleh melihat sirah Nabi SAW semasa Nabi SAW meneruskan perjalanan hijrah berangkat menuju ke Madinah. Nabi berangkat dari Quba di pagi hari Jumaat dan pada saat telah masuk waktu solat Jumaat maka turunlah perintah untuk solat Jumaat kepada baginda SAW.
Oleh sebab itu Nabi Muhammad SAW segera melaksanakan solat Jumaat.
Jumaat Penghulu Segala Hari
Hari Jumaat juga di antara sayyid al-ayyam (penghulu hari) dan hari kebesaran Islam sebagaimana hadis:
Dari Abu Hurairah RA dari Nabi SAW, baginda bersabda:

خير يوم طلعت عليه الشمس يوم الجمعة فيه خلق آدم وفيه أدخل الجنة وفيه أخرج منها ولا تقوم الساعة إلا في يوم الجمعة

Maksudnya: “Sebaik-baik hari yang matahari terbit padanya (hari cerah) adalah hari Jumaat, (kerana) pada hari ini Adam diciptakan, hari ini pula Adam dimasukkan ke dalam syurga dan dikeluarkan darinya, dan tidaklah akan datang hari kiamat kecuali pada hari Jumaat.” (HR Muslim)
Tuntasnya, Jumaat merupakan hari (perayaan) yang berulang-ulang setiap minggu.
Dari Ibnu ’Abbas RA berkata, Rasulullah SAW bersabda:

إن هذا يوم عيد جعله الله للمسلمين فمن جاء الجمعة فليغتسل…

Maksudnya: ”Sesungguhnya hari ini adalah hari perayaan yang Allah jadikan bagi kaum Muslimin, barangsiapa yang mendapati hari Jumaat hendaknya ia mandi…” (HR Ibnu Majah)
Terdapat perbezaan kita dengan umat-umat lain, umat lain telah dijauhkan oleh Allah untuk beribadat pada hari Jumaat, tetapi mereka diberi hari yang lain. Misalnya kaum Yahudi ditentukan hari Sabtu, dan Nasrani pula hari Ahad.
Dalam hadis lain Nabi SAW bersabda:

أضل الله عن الجمعة من كان قبلنا فكان لليهود يوم السبت وكان للنصارى يوم الأحد فجاء الله بنا فهدانا الله ليوم الجمعة فجعل الجمعة والسبت والأحد وكذلك هم تبع لنا يوم القيامة نحن الآخرون من أهل الدنيا والأولون يوم القيامة المقضي لهم قبل الخلائق
(م ن هـ) عن حذيفة وأبي هريرة.

Maksudnya: “Allah telah menjauhkan bagi orang sebelum kita dari hari Jumaat. Bagi Yahudi ada hari Sabtu. Bagi Nasrani ada hari Ahad. Lalu Allah memberi hidayah kepada kita di hari Jumaat. Allah menjadikan (urutan) hari adalah Jumaat, Sabtu dan Ahad. Demikian halnya mereka mengikuti kita di hari kiamat. Kita ini pendatang terakhir di dunia, namun golongan pertama di hari kiamat yang akan mendapatkan keputusan dari Allah sebelum makhluk yang lain” (HR Muslim, Nasai dan Ibnu Majah)
Bagaimanapun, bagi kaum pekerja, hari Jumaat memiliki suasana yang berbeza dibanding hari-hari yang lain. Waktu bekerja terasa sekejap, pagi masuk kerja kemudian sudah menjelang solat Jumaat, semua aktiviti dihentikan untuk melaksanakannya. Suasana ini sangat dirasakan oleh kaum muslim kerana wajib melaksanakan solat Jumaat secara berjemaah dan mendengar khutbah.
Namun begitu, perkara tersebut bukanlah alasan untuk tidak menunaikan solat Jumaat bilamana kita bekerja kerana solat adalah wajib bagi setiap muslim. Bilamana kita beralasan supaya solat Jumaat perlu ditukarkan pada hari Sabtu atas alasan sedemikian.
Perubahan Ikut Acuan Agama Atau Ikut Acuan Masa Kerja?
Sepatutnya kita yang perlu menukarkan cuti pada hari sabtu pada hari Jumaat, bukannya menukar solat Jumaat pada hari Sabtu.
Mana mungkin seorang hamba-NYA menukarkan apa yang telah wajib diperintahkan oleh Allah SWT malah termaktub dalam Al-Quran!
Oleh: Mohamad Farouk Hamzah

PENCIPTAAN LANGIT & BUMI


IRSYAD AL-FATWA KE-129: PENCIPTAAN LANGIT & BUMI

Soalan:
Bilakah berlakunya penciptaan bumi? Berapakah anggaran umur bumi sekarang ini?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Tauhid yang benar akan membawa kepada satu kepercayaan yang utuh bahawa Allah SWT adalah Maha Pencipta dan Maha Besar. Tiada yang setanding dengan-Nya. Kekuasaan-Nya tiada batasan begitu juga dengan dan tiada juga yang mampu menandingi-Nya.
Firman Allah SWT:

بَدِيعُ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِۖ وَإِذَا قَضَىٰٓ أَمۡرٗا فَإِنَّمَا يَقُولُ لَهُۥ كُن فَيَكُونُ

Maksudnya: Allah jualah yang menciptakan langit dan bumi (dengan segala keindahannya); dan apabila Ia berkehendak (untuk menjadikan) suatu, maka Ia hanya berfirman kepadanya: “Jadilah engkau!” Lalu menjadilah ia. 
(Al-Baqarah: 117) 
Ayat di atas ingin memperlihatkan kekuasaan Allah SWT yang mana menciptakan langit dan bumi tanpa ada ciptaan yang semisal dengannya sebelum ini. Melalui ayat ini juga, Allah SWT ingin memperlihatkan akan kesempurnaan kemampuan-Nya serta keagungan kekuasaan-Nya. 
Kejadian Langit & Bumi
Adapun mengenai kejadian langit dan bumi, Al-Quran banyak menyebutkannya, antaranya:

ٱلَّذِي خَلَقَ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضَ وَمَا بَيۡنَهُمَا فِي سِتَّةِ أَيَّامٖ ثُمَّ ٱسۡتَوَىٰ عَلَى ٱلۡعَرۡشِۖ ٱلرَّحۡمَٰنُ فَسۡ‍َٔلۡ بِهِۦ خَبِيرٗا 

Maksudnya:  Yang menciptakan langit dan bumi dan apa yang ada antara keduanya dalam enam masa, kemudian dia bersemayam di atas ‘Arsy, (Dialah) Yang Maha Pemurah, maka tanyakanlah (tentang Allah) kepada yang lebih mengetahui (Muhammad) tentang Dia.
(Al-Furqan: 59)
Seterusnya:

ٱللَّهُ ٱلَّذِي خَلَقَ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضَ وَمَا بَيۡنَهُمَا فِي سِتَّةِ أَيَّامٖ ثُمَّ ٱسۡتَوَىٰ عَلَى ٱلۡعَرۡشِۖ مَا لَكُم مِّن دُونِهِۦ مِن وَلِيّٖ وَلَا شَفِيعٍۚ أَفَلَا تَتَذَكَّرُونَ 

Maksudnya:  Allah lah yang menciptakan langit dan bumi dan apa yang ada di antara keduanya dalam enam masa, kemudian Dia bersemayam di atas ‘Arsy. Tidak ada bagi kamu selain dari pada-Nya seorang penolongpun dan tidak (pula) seorang pemberi syafa’at. Maka apakah kamu tidak memperhatikan?
(Al-Sajdah: 4)
Para ulama’ telah berbeza pendapat pada menafsirkan  فِي سِتَّةِ أَيَّامٖ iaitu penciptaan langit dan bumi pada enam masa dan padanya terdapat dua pendapat yang disebutkan oleh al-Imam Ibn Kathir di dalam karyanya, al-Bidayah wa al-Nihayahiaitu:
  • Pendapat jumhur mengatakan bahawa enam masa yang dimaksudkan itu adalah hari-hari yang biasa sepertimana hari-hari kita sekarang ini.
  • Manakala pendapat Ibn ‘Abbas R.Anhuma, Mujahid, al-Dahhak dan Ka’ab al-Ahbar pula mengatakan bahawa setiap harinya itu bersamaan dengan 1000 tahun hari yang biasa.
[Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah oleh Ibn Kathir. Dar al-Fikr, 1/15]
Apapun pendapat yang terdapat di dalam permasalahan ini, hakikatnya hanya Allah SWT sahaja yang Maha Mengetahui. Dialah yang Maha menciptakannya dan dituntut dari ciptaan-Nya itu adalah untuk kita berfikir dan merenung alam ini sambil bermuhasabah diri bahawa sesungguhnya kita ini manusia yang tiada apa..
Langit & Bumi: Mana Yang Diciptakan Dahulu?
Firman Allah SWT:

هُوَ ٱلَّذِي خَلَقَ لَكُم مَّا فِي ٱلۡأَرۡضِ جَمِيعٗا ثُمَّ ٱسۡتَوَىٰٓ إِلَى ٱلسَّمَآءِ فَسَوَّىٰهُنَّ سَبۡعَ سَمَٰوَٰتٖۚ وَهُوَ بِكُلِّ شَيۡءٍ عَلِيمٞ

Maksudnya: Dialah Allah, yang menjadikan segala yang ada di bumi untuk kamu dan Dia berkehendak (menciptakan) langit, lalu dijadikan-Nya tujuh langit. Dan Dia Maha Mengetahui segala sesuatu.
(Al-Baqarah: 29) 
Berdasarkan firman di atas, makanya penciptaan bumi didahulukan daripada penciptaan langit. Ianya seumpama asas pembinaan yang mana perlu diciptakan tapaknya dahulu sebelum ditinggikan bahagian atap. Ini sepertimana yang dinukilkan oleh al-Imam Ibn Kathir Rahimahullah di dalam kitabnya al-Bidayah wa al-Nihayah (1/15). 
Umur Bumi
Saintis menganggarkan umur bumi berdasarkan batu batan yang terdapat di atas muka bumi. Mereka menganggarkan usia bumi sebagai 4.5 bilion tahun. Ini berdasarkan kajian radioaktif bahan uranium misalnya yang bertukar menjadi plumbum. Uranium sebagai bahan radioaktif yang terdapat batu batan mereput untuk bertukar menjadi plumbum yang lebih mantap. Saintis mengetahui separuh hayat uranium lalu melihat kuantiti logam tersebut yang masih tertinggal selepas pereputan berlaku. Lalu usia batu tersebut dianggarkan.
Saintis mengkaji Kristal zircon di Jack Hill Australia mendapati usianya sebagai 4.04 bilion tahun yang dianggap Kristal tertua yang ditemui di atas permukaan bumi, lalu mereka mengishtiharkan bahawa Australia benua tertua di dunia. Saintis Amerika pula mengishtihatkan Amerika sebagai benua tertua berdasarkan penemuan yang lain pula di Kanada. Saintis Muslim pula menganggap strata bumi di bawah Kaabah merupakan bumi tertua berdasarkan hadis yang menceritakan, Makkah merupakan bumi pertama muncul sebelum pembentangan daratan berlaku dan berhujah bahawa seluruh benua terjadi serentak daripada tectonic plate (lempeng bumi) yang sama lalu terpisah antara satu dengan yang lainnya sehingga terbentuk 7 benua yang berjiran. Penemuan zircon di Australia atau Amerika tidak menunjukkan bahan tersebut berasal dari bumi tetapi kemungkinan besarnya berhasil daripada ruang angkasa lepas sebagaimana intan dianggap saintis berasal dari angkasa lepas. 
Penutup
Jika kita merenung alam ini dengan sebaiknya, pasti akan terserlah kehebatan yang Maha Hebat Allah SWT dalam mentadbir segala urusan. Pada penciptaan langit dan bumi itu akan kita perhatikan keteraturan, keharmonian serta keindahannya yang tiada tolok bandingnya. Renunglah ke langit tatkala malam yang dihiasi dengan rembulan dan bintang-bintang. Lihatlah hamparan daratan yang terbentang luas dihiasi dengan gunung-ganang serta sungai dan lautan. Lihatlah juga pada penciptaan manusia itu sendiri. Jelas menunjukkan kebesaran dan kehebatan Allah SWT.
Namun, segala yang ada ini bukanlah hanya untuk direnungkan sahaja. Ianya juga untuk kita sama-sama berfikir dan bertadabbur bagi lebih menambahkan keimanan kita. Disebabkan itu, kita dapat perhatikan bahawa Allah SWT telah memuji golongan ulul albab iaitu golongan yang berakal kerana sentiasa mengingati Allah SWT. Firman Allah SWT:

إِنَّ فِي خَلۡقِ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ وَٱخۡتِلَٰفِ ٱلَّيۡلِ وَٱلنَّهَارِ لَأٓيَٰتٖ لِّأُوْلِي ٱلۡأَلۡبَٰبِ ١٩٠ ٱلَّذِينَ يَذۡكُرُونَ ٱللَّهَ قِيَٰمٗا وَقُعُودٗا وَعَلَىٰ جُنُوبِهِمۡ وَيَتَفَكَّرُونَ فِي خَلۡقِ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ رَبَّنَا مَا خَلَقۡتَ هَٰذَا بَٰطِلٗا سُبۡحَٰنَكَ فَقِنَا عَذَابَ ٱلنَّارِ ١٩١

Maksudnya: Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal. (yaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): “Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka.
(Aal Imran: 190-191) 
Semoga Allah SWT menggolongkan kita di dalam golongan ulul albab yang sentiasa mentadabbur alam ini dengan melihat kehebatan Allah SWT seterusnya menghadirkan rasa keinsafan buat diri kita.
Akhukum fillah,
S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan 
21 September 2016 bersamaan 19 Zulhijjah 1437 H

Tingkatkan kesedaran keselamatan di Internet

Friday 7 October 2016

SHUHAIMI EMBONG | .


ERA ledakan siber sekarang ini menerusi lambakan laman media sosial pada masa kini, termasuk Facebook, WeChat,  Twitter, Whatsapp, Skype dan banyak lagi aplikasi lain melahirkan sindiket jenayah alam maya secara tidak langsung.

Kebanyakan dilihat mengambil kesempatan yang melibatkan penipuan dalam  e-perdagangan, perbankan menerusi jaringan Internet, dan penggunaan ‘Voice Over Internet Protocol (VoIP) disebabkan kurangnya kefahaman dan kesedaran mengenai keselamatan penggunaan kemajuan siber serta teknologi maklumat menjadi faktor utama ramai rakyat di negara ini, khususnya terjebak ke lembah mangsa jenayah digital, yang juga dikenali sebagai jenayah siber.

Walaupun terdapat kebimbangan mengenai tahap keselamatan alam siber negara  ini, namun CyberSecurity Malaysia dilihat memberi jaminan ia berada di tahap terkawal. Justeru, katanya, kawalan keselamatan yang ketat dan penguatkuasaan undang-undang adalah penting bagi memastikan isu itu dapat dikawal.

Meskipun aplikasi tersebut kesemuanya didatangkan dengan pengesahan keselamatan identiti pengguna seperti penggunaan kata laluan (password), ia masih boleh ditembusi secara mudah menerusi kelicikan penjenayah siber yang dikenali sebagai penggodam atau pencuri identiti.

Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Dr Aminuddin Abdul Wahab sebelum ini pernah berkata pihak CyberSecurity, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sentiasa membuat pemantauan untuk memastikan keamanan dan kesejahteraan di alam siber.

"Orang ramai tidak perlu risau atau cemas, mereka boleh membantu menjaga keamanan alam siber negara dengan mematuhi undang-undang negara ini terutamanya bagi individu dewasa ketika melayari Internet," kata beliau dalam kenyataan kepada Bernama.

Antara tindakan pengguna yang boleh membantu menjaga keselamatan alam siber ialah dengan sentiasa menjaga etika ketika menggunakan e-mel dan laman media sosial seperti Facebook, Twitter, blog dan sebagainya.

"Fikir secara rasional, jangan bertindak ikut emosi dan jangan mudah percaya dengan sumber maklumat yang tidak sahih. Oleh itu, jangan 'share', 'like', atau 'forward' maklumat yang belum dipastikan kesahihannya kerana perbuatan tersebut seolah-olah menyebarkan fitnah," jelas Aminuddin.

Syahrul Nizam Junaini Pensyarah Kanan Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), ketika menyampaikan Ceramah Komuniti: Jenayah Siber, di Auditorium Pustaka Negeri Sarawak, di Kuching dilaporkan berkata punca masalah berlakunya jenayah siber adalah berhubung dengan kelemahan keselamatan pada peranti teknologi yang digunakan termasuk penggunaan kata laluan yang terlalu mudah untuk ditembusi.

“Tiga punca yang menjadi masalah utama berlakunya jenayah siber adalah ketanpanamaan (anonymous) pengguna Internet, kelemahan pengawalan di ruang Internet serta wujudnya penyamaran identiti di alam maya.

“Malah, bukan itu sahaja, masyarakat yang menjadi pengguna alam siber itu sendiri bersifat leka dan mengambil remeh terhadap tahap keselamatan komunikasi maklumat dan teknologi (ICT) sekali gus menjadi mangsa kerakusan penggodam bagi mencapai kepuasan peribadi mereka,” katanya.

Tambah beliau, pengguna seharusnya memikirkan keselamatan peribadi mereka sebelum membuat keputusan untuk berkongsi maklumat diri yang dimuat naik, disimpan serta disalurkan menerusi atas talian.

Selain itu, jelasnya, antara lain yang sering kali dikaitkan dengan jenayah siber ialah pemalsuan data secara umum yang tertumpu kepada pemalsuan imej dan nama.

Asas penting pendidikan awal anak-anak




FIRMAN Allah:

“Wahai Tuhan kami, kurniakanlah kepada kami di kalangan suami isteri kami daripada zuriat keturunan kami kalangan yang menjadi pemimpin kepada orang-orang yang bertaqwa.” (al-Furqan: 74)

Marilah kita menghayati apa yang disebut oleh Rasululllah SAW,

“Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah (sifat semulajadi yang sangat bersih) maka kedua ibu bapanyalah yang menjadi sebab anak-anak itu menjadi Yahudi, menjadi Kristian dan menjadi Majusi.”

Menunjukkan betapa Allah SWT menjadikan makhluk manusia dalam keadaan bersih, suci dengan sifat semulajadi ciptaan Allah SWT mempunyai jasad yang mulia, mempunyai roh dan akal fikiran. Itulah asal kejadian manusia sehingga mereka dipilih oleh Allah berada di atas muka bumi. Namun mestilah manusia itu dibentuk mengikut acuan penciptanya Allah SWT.

Untuk membentuk manusia, bukan seperti menternak haiwan, bukan seperti menjaga pokok mendirikan bangunan, hendaklah dita'lim, diberi ilmu, ditarbiyyah dan dididik bukan sahaja untuk mengisi jasad dengan makanan-makanan yang berbeza daripada baja pohon, makanan binatang ternakan, makanan yang halal, yang diizinkan oleh Allah SWT, tepat dengan kejadian mereka. 

Yang terpentingnya ialah makanan akal dan roh mereka untuk menjadi seorang manusia yang benar-benar dapat melaksanakan tugas di atas muka bumi Allah SWT. Maka Allah menurunkan petunjuk-Nya melalui Rasul-Rasul AS, acuan yang khusus bagi mendidik manusia, bermula daripada permulaannya, sehingga dia meninggal dunia, adalah menjadi satu hikmat yang besar apabila kanak-kanak yang dilahirkan, ditahnik dengan air zam-zam dan buah tamar yang disebut kemuliaannya oleh Hadis Nabi SAW:

“Sesungguhnya air zam-zam itu mengikut tujuan apa diberi minum, tamar merupakan buahan yang berkat, tumbuh di bumi para anbiya'.” 

Maka didoakan dengan doa yang betul-betul mendapat berkat daripada tahnik itu, mengikut doanya untuk diberi roh, jasad dan diri yang baik, iman yang teguh, akhlak yang mulia, ilmu yang memberi manfaat, menjadi satu hikmat yang besar mengapa anak-anak yang dilahirkan itu disunatkan azan pada telinganya. Walaupun riwayat hadisnya dikatakan dhoif, tetapi menjadi amalan yang masyhur di kalangan para ulamak. Yang penting bukan sanad riwayat itu, tetapi laungan suara azan itu, yang terpenting ialah ucapan dua kalimah syahadah sehingga meninggal dunia pun disuruh. 

Apa makna anak-anak dan bayi dilahirkan itu diucapkan dua kalimah syahadah yang penuh dengan keberkatan, menandakan di sana ada kaitan yang berbentuk diri manusia mengikut acuan Allah SWT. 

Yang paling penting ialah mendidik anak itu dengan asas-asas ilmu fardhu ain, ilmu yang wajib di atas tiap-tiap orang lelaki dan perempuan yang mesti diberi sejak zaman kanak-kanak lagi. Ilmu fardhu ain tentang agama ini, yang berkait dengan aqidah, yang berkait dengan amalan, yang berkait dengan akhlak adalah asas yang penting bagi seorang manusia. Walaupun dia seorang ulama, dia seorang profesional, dia seorang rakyat, dia seorang bijak, seorang yang tidak bijak, tetapi ilmu fardhu ain adalah asas. 

Menuntut ilmu wajib di atas tiap-tiap orang lelaki dan tiap-tiap orang perempuan. Dalam dunia hari ini, manusia sudah beralih kepada acuan ciptaan sendiri tanpa peduli kepada asas-asas fardhu ain untuk membentuk diri manusia ini. Maka lahirlah ulama-ulama yang jahat, pemimpin-pemimpin yang jahat, profesional-profesional yang lebih bertujuan untuk cari makan daripada menjadikan khalifah Allah di atas muka bumi Allah SWT. 
  
Tujuan kita membuka PASTI, Pusat Asuhan Tunas ini adalah untuk menyempurnakan acuan yang asas, yang sangat penting, untuk membina jati diri anak-anak kita dengan Islam. Ini tujuannya, membina jati diri anak kita dengan acuan Allah SWT walaupun ilmunya dianggap ilmu yang kecil, yang tipis, yang rendah, tetapi adalah tunjang yang sangat penting bagi membina diri manusia. Kelebihan yang sudah pasti dicapai sebagaimana yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW:

“Apabila matinya seorang manusia, terputuslah amalannya melainkan tiga perkara, sumbangan harta yang kebajikannya berpanjangan, ilmu yang memberi manfaat, anak yang soleh yang mendoakan untuknya setelah meninggal dunia.” 

Di mana inilah hasil yang mesti didapati daripada Pusat Latihan yang kita bina ini, yang penting ini. Menunjukkan bahawa kegiatan kita dalam alam PASTI ini satu kegiatan yang sangat penting dalam pendidikan Islam, tak boleh dianggap sebagai satu perkara yang kecil, perkara yang remeh temeh.

Saya mengalu-alukan majlis Alam Ria yang diadakan ini, bukan sahaja untuk menghiburkan anak-anak kita, menghibur dengan hiburan-hiburan, untuk menilai pencapaian mereka. Dalam masa yang sama untuk melatihkan amal jama'ie, amal berjemaah apabila dihubungkan di antara satu sama lain di seluruh negara. Anggaplah majlis ini satu majlis yang sangat penting bagi kita. Dan teruskan kerja amal yang sangat penting ini, mudah-mudahan diberkati oleh Allah, dan saya menumpang berkat sama, dalam kegiatan yang sangat penting, mudah-mudahan diberkati oleh Allah. – HARAKAHDAILY 26/9/2016

Kitab Hadis Online

Muhasabah Cintaku

Wahai pemilik nyawaku
Betapa lemah diriku ini
Berat ujian dariMu
Ku pasrahkan semua padaMu

Tuhan baru ku sadar
Indah nikmat sehat itu
Tak pandai aku bersyukur
Kini ku harapkan cintaMu

Kata-kata cinta terucap indah
Mengalir berdzikir di kidung doaku
Sakit yang ku rasa
Biar jadi penawar dosaku

Butir-butir cinta air mataku
Teringat semua yang Kau beri untukku
Ampuni khilaf dan salah selama ini
Ya Illahi (ya Ilahi) muhasabah cintaku

Tuhan kuatkan aku
Lindungiku dari putus asa
Jika ku harus mati
Pertemukan aku denganMu

Kata-kata cinta terucap indah
Mengalir berdzikir di kidung doaku
Sakit yang ku rasa
Biar jadi penawar dosaku (dosaku)

Butir-butir cinta air mataku
Teringat semua yang Kau beri untukku
Ampuni khilaf dan salah selama ini
Ya Illahi (ya Ilahi) muhasabah cintaku

Kata-kata cinta terucap indah
Mengalir berdzikir di kidung doaku
Sakit yang ku rasa
Biar jadi penawar dosaku (dosaku)

Butir-butir cinta air mataku
Teringat semua yang Kau beri untukku
Ampuni khilaf dan salah selama ini
Ya Illahi (ya Ilahi) muhasabah cintaku

Teknik Atasi Stress


1. Jumpa kaunselor sekolah

2. Alih pandangan kepada yang relaks(tengok ikan dalam akuarium)

3. Banyakkan berdoa

4. Laksanakan latihan fizikal-jalan 5 minit.

5. Menyusun keutamaan tugas.
6. Tulis perasaan/cakap dalam pita rakaman.

7. Dapatkan sokongan emosi dan orang lain.

8. Mandi dalam air suam.

9. Teknik besarkan situasi ke tahap tahap tak masuk akal.
10. Melihat dari segi positif.

11. Menguasai kehidupan anda-menyelesaikan masalah.
12. Tetapkan semua matlamat yang relistik.

13. Ingat peranan anda di dunia.
 

Anjung Ilmu

Jagalah Hati ...

Jagalah Hati ...
Ketahuilah, bahawa di dalam badan itu ada seketul daging, apabila ia baik, baiklah seluruh badan, dan apabila ia rosak, rosaklah semuanya, ketahuilah, itulah dia hati." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Kalam Murabbi

Kalam Murabbi

Surah Sajadah

Surah Yaasin